SUNTIKAN TYPHOID
Suntikan typhoid bertujuan mengelakkan pengendali makanan dijangkiti penyakit dan mencegah penularannya kepada orang awam.
Penyakit tifoid atau lebih dikenali sebagai demam kepialu merupakan sejenis penyakit yang mudah berjangkit melalui makanan atau minuman yang telah tercemar. Sebab itu, semua pengendali makanan sama ada warga asing atau tempatan diwajibkan mendapatkan suntikan typhoid. Suntikan typhoid bertujuan untuk mengelakkan pengendali makanan daripada dijangkiti penyakit dan sebagai pencegahan awal kepada orang awam
Mengapa Pengendali Makanan Wajib Menerima Vaksin Typhoid?
Pengendali makanan adalah diwajibkan untuk mengambil suntikan Vaksin Typhoid untuk mencegah sebarang penyakit berjangkit yang mampu merebak melalui makanan atau minuman.
Usaha ini tidak hanya mencegah demam kepialu, tetapi beberapa penyakit lain seperti kolera dan keracunan makanan. Mereka yang gagal mematuhi garis panduan ini boleh dikenakan denda dan boleh didakwa di mahkamah.
Apakah denda atau hukuman jika saya tidak mengambil Suntikan Typhoid?
Akta Makanan 1983 & Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009
memperuntukkan DENDA tidak melebihin RM10,000 atau PENJARA tidak melebihi 2 TAHUN jika tidak mengambil suntikan vaksin anti tifoid atau tidak memiliki sijil vaksin.
Apakah Penyakit Tifoid?
Penyakit tifoid lebih dikenali sebagai demam kepialu dalam kalangan rakyat Malaysia. Penyakit demam kepialu adalah satu penyakit yang boleh membawa maut. Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mencegah penyakit ini dan menguatkuasa undang-undang berkaitan makanan agar demam kepialu tidak merebak dalam negara. Namun jangkitan ini masih terjadi akibat sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mematuhi garis panduan penyediaan makanan atau produk lain berasaskan makanan.
Apakah Itu Suntikan Typhoid?
Suntikan typhoid adalah sejenis suntikan vaksin yang digunakan untuk mencegah penyakit typhoid atau tifoid. Suntikan ini bertujuan untuk merangsang sistem imunisasi badan untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan bakteria Salmonella typhi.
Penggunaan vaksin ini telah terbukti mampu mencegah demam kepialu dari terus merebak di banyak negara termasuk Malaysia.
Siapakah Yang Perlu Mengambil Suntikan Typhoid?
Menurut Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis makanan hendaklah tidak menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya, melainkan jika mereka diberi suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) oleh pengamal perubatan berdaftar.
Vaksin typhoid perlu diambil oleh pengendali makanan sebelum mereka mula bertugas atau mula mengendalikan makanan. Pengendali makanan adalah diwajibkan untuk menghadiri kursus pengendalian makanan dan mempraktikkannya di tempat kerja. Individu yang telah menerima atau mengambil suntikan tifoid akan menerima sijil suntikan typhoid sebagai bukti. Penguatkuasa berhak meminta untuk melihat sijil ini untuk memastikan makanan yang disediakan di premis tersebut adalah selamat.
Semua pengendali makanan, sama ada warganegara atau bukan warganegara perlu mendapatkan Suntikan Vaksin dan menghadiri kursus Pengendalian Makanan.
Bilakah Pengendali Makanan Perlu Mengambil Suntikan Typhoid?
Sesiapa yang menerima atau mengambil suntikan tyohoid akan menerima sijil suntikan typhoid sebagai bukti.
Penguatkuasa berhak meminta untuk melihat sijil ini untuk memastikan makanan yang disediakan di premis tersebut adalah selamat.
Sumber: DoctorOnCall
Kedai Makan Diarah Tutup Sementara, 11 Pekerja Tiada Suntikan Tifoid
Kuala Nerus: Sebuah kedai makan di Seberang Takir, dekat sini, diarah tutup selama 14 hari kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong berkata, premis makanan itu diarahkan tutup apabila pemeriksaan mendapati 11 pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid.
Katanya, arahan penutupan premis makanan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
“Pengusaha premis makanan itu boleh membuka semula operasi selepas semua pekerjanya menunjukkan bukti sudah melakukan suntikan tifoid melakukan kerja pembersihan seperti dikeluarkan,” katanya.
Terdahulu, Dr Kasemani merasmikan majlis penutup Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam ke-dua negeri di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus, hari ini.
Turut hadir adalah Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Nerus, Dr Effah Leiylena Yaacob.
Dr Kasemani berkata, sebanyak 78 premis diperiksa dalam Ops Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam, yang diadakan hari ini.
Katanya, sebanyak 99 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan jumlah kompaun berjumlah RM24,055
Sumber: Harian Metro