KUALA LUMPUR: Majikan dan pihak berkuasa digesa tidak berkompromi dalam aspek kesihatan pengguna dengan memastikan pekerja asing yang berkhidmat dalam sektor makanan dan minuman (F&B) bukan sahaja menerima suntikan tifoid, tetapi mematuhi semua syarat ditetapkan dalam pengendalian makanan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata perkara ini tidak boleh dianggap remeh kerana ia membabitkan soal kesihatan pengguna.
“Saya tidak nafikan keperluan untuk pengusaha makanan, misalnya restoran mamak yang amat memerlukan pekerja asing disebabkan susah mendapatkan pekerja tempatan. Namun, janganlah pula ambil ringan aspek kebersihan dan kesihatan kerana apa yang dibimbangi adalah jika mereka tak mendapat suntikan tifoid, risiko untuk tersebarnya penyakit kepada pengguna adalah tinggi.
“Pertama, saya lihat majikan perlu ambil peranan bukan sahaja memastikan pekerja dapat suntikan tifoid, tetapi mesti hadir kursus penyediaan makanan yang disediakan pihak PBT,” katanya kepada BH Online.
Hishamuddin berkata, sekiranya ada premis makanan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan, PBT wajar mengambil tindakan dengan menarik balik lesen perniagaan mereka.
“Sebab itu, saya tegaskan, PBT perlu buat pemantauan dan operasi pemeriksaan secara lebih kerap bersama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), terutama di pasar raya besar memandangkan kebanyakan restoran di dalamnya menempatkan pekerja asing,” katanya.
Serius tangani isu
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, berkata KKM perlu serius menangani isu ini seperti mana penguatkuasaan yang ketat bagi membendung wabak COVID-19.
“Negara ketika ini berdepan pelbagai krisis kesihatan, jadi jika masih ada pekerja asing yang tak terima suntikan, ini tentunya merisikokan rakyat kita.
“Jadi, sistem seperti mana dilakukan bagi tangani isu COVID-19 perlu turut dilaksana (dalam isu ini), misalnya boleh wujud garis panduan lebih ketat bagi memastikan rakyat tidak terdedah kepada penyakit lain khususnya ketika mendapatkan perkhidmatan berkaitan makanan.
“Kesihatan rakyat perlu diutama kerana warga asing ini bukan membabitkan yang bekerja dalam sektor F&B secara sah, tetapi ramai juga berniaga sendiri. Mereka lebih sukar untuk ditangani dan sudah tentu ikut syarat ditetapkan PBT,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kebanjiran warga asing di negara ini, Mohd Ridzuan berkata, hasil siasatan mendapati ramai dalam kalangan mereka khususnya dari Bangladesh yang masuk ke negara ini untuk bekerja dalam sektor tertentu, tetapi kemudian ‘melencong’ dengan bekerja sendiri kerana inginkan gaji lebih besar.
“Ada warga Bangladesh yang saya temui mengaku datang untuk bekerja di kilang, tetapi kemudian berhenti untuk mula perniagaan sendiri sebab untung lebih besar. Ada mengaku, datang tanpa permit yang sah pun boleh berniaga sendiri dengan memberikan suapan kepada pihak tertentu,” katanya.
“Ini yang kita tidak mahu dan amat memalukan, rasuah berleluasa dan tiada ketirisan dalam isu tenaga kerja asing. Perkara ini yang kami perjuangkan untuk banteras rasuah habis-habisan,” katanya.
Sumber: BH