Tujuan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan (BKKM) mewajibkan setiap Pengendali Makanan untuk mendapatkan sijil kursus pengendalian makanan ini adalah untuk melindungi hak dan kepentingan orang awam demi memastikan sistem penghasilan dan penjualan makanan di Malaysia adalah terkawal dan teratur bagi mengawal dan mengelakkan berlakunya wabak dan jangkitan bawaan makanan yang boleh merisikokan kesihatan pengguna. Usaha ini sejajar dengan aspirasi negara untuk menaik taraf mutu dan kualiti makanan yang dijual di negara ini.
Apakah Syarat Untuk Memohon Sijil Kursus Pengendalian Makanan?
Sijil kursus pengendalian makanan ini adalah sijil yang paling asas perlu dimiliki oleh mereka yang ingin melibatkan diri dalam industri makanan. Pensijilan ini terbuka untuk semua individu yang terlibat secara lansung dan tidak langsung dalam penghasilan dan pembuatan makanan dan minuman yang bertujuan untuk dijual kepada orang ramai. Tiada syarat khusus untuk memohon sijil kursus pengendalian makanan. Semua peserta warganegara Malaysia dan bukan warganegara WAJIB menghadiri kursus pengendalian makanan dan memiliki sijil kursus pengendalian makanan ini.
Bagaimana Cara Memohon Sijil Kursus Pengendalian Makanan ?
Peserta yang berminat untuk mendapatkan sijil kursus pengendalian makanan perlu membuat permohonan pendaftaran kepada Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh pihak BKKM. Senarai penuh sekolah latihan pengendali makanan yang diiktiraf boleh didapati di laman sesawang rasmi pihak BKKM atau boleh disemak melalui laman FoSIM (www.fosim.moh.gov.my).
Setelah memilih sekolah latihan yang diiktiraf, peserta boleh terus menghubungi wakil koordinator dan memberikan maklumat peserta. Antara maklumat yang diperlukan adalah seperti, Nama, No Kad Pengenalan / Passport , No Telefon serta tarikh dan masa sesi kursus. Sila pastikan sesi yang dipilih peserta adalah tepat dan peserta perlu luangkan masa sekurang-kurangnya 3 jam menghadiri sesi kursus pengendalian makanan bagi melayakkannya memperolehi sijil kursus pengendalian makanan.
Berapakah Bayaran Bagi Permohonan Sijil Kursus Pengendalian Makanan ?
Bayaran rasmi yang telah ditetapkan oleh pihak BKKM adalah sebanyak RM50 untuk setiap peserta. Namun begitu, lain-lain kos mungkin akan dicaj oleh pihak sekolah latihan seperti kos pentadbiran, kos makan/minum, kos pos sijil dan sebagainya. Peserta boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak sekolah latihan yang dipilih.
Proses Permohonan Sijil Kursus Pengendalian Makanan
- Semak Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) Yang Diiktiraf
- Hubungi koordinator SLPM yang dipilih
- Berikan maklumat peserta dan pilih sesi kursus, tarikh dan masa yang besesuaian
- Buat bayaran untuk tempah sesi kursus
- Bersedia untuk menghadiri sesi Kursus Pengendalian Makanan
- Hadir Kursus Pengendalian Makanan selama 3 jam
- Lulus Ujian PRA dan POS
- Peserta layak memperolehi Sijil Kursus Pengendalian Makanan yang SAH
Tempoh Sah Laku Sijil Kursus Pengendalian Makanan
Peserta yang berjaya lulus dan memperolehi sijil kursus pengendalian makanan ini boleh menggunakan sijil ini untuk seumur hidup dan terpakai di mana-mana sahaja kawasan Pihak Berkuasa Tempatan seluruh Malaysia. Namun begitu, sijil kursus pengendalian makanan boleh terbatal jika pengendali makanan didapati membuat pelanggaran sebarang Akta atau Peraturan yang termaktub di dalam undang-undang sedia ada.
Pembatalan Sijil Kursus Pengendalian Makanan
Pengiktirafan Sijil Kursus Pengendalian Makanan kepada peserta boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya peserta atau seseorang pengendali makanan didapati melakukan pelanggaran Akta dan Peraturan seperti berikut antaranya:
- Keadaan kebersihan diri, peralatan dan premis makanan yang kotor serta tidak memenuhi standard piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.
- Terdapat bukti makanan atau minuman yang dijual menjadi penyebab kepada kejadian keracunan makanan.
- Didapati produk yang dihasilkan oleh pengusaha terbukti melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.
Proses Mendapatkan Sijil Kursus Pengendalian Makanan Yang Telah Batal / Hilang / Rosak
Peserta dinasihatkan untuk menjaga sijil kursus pengendalian makanan dengan baik di tempat yang selamat. Sijil ini akan seringkali diminta oleh pihak penguatkuasa untuk tujuan verifikasi setiap kali pemeriksaan premis dijalankan.
Untuk sijil kursus pengendalian makanan yang telah di BATAL kan oleh pihak berkuasa, peserta WAJIB hadir semula sesi kursus pengendalian makanan di mana-mana sekolah latihan yang diiktiraf bagi mendapatkan sijil yang baru.
Manakala bagi sijil kursus pengendalian makanan yang telah HILANG atau ROSAK ianya boleh diganti dengan menghubungi semula pihak sekolah latihan yang dihadiri sebelum ini untuk mendapatkan gantian sijil yang baru. Prosedur permohonan gantian sijil adalah berbeza untuk setiap sekolah latihan yang dipilih.
Kos gantian sijil juga bergantung kepada pihak sekolah latihan masing-masing. Sila dapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi sekolah latihan terbabit.
Walaubagaimanapun kami amat menggalakkan peserta untuk menghadiri semula kursus pengendalian makanan ini untuk refresh semula ilmu demi kebaikan perniagaan peserta.